28 January 2009

Islam tidak mengharamkan seni

Senibina Islam


Seringkali kita mendengar pendapat yang mengatakan kesenian tidak ada kaitan dengan agama Islam malah mengharamkannya secara mutlak. Mereka menyeru ke arah kehidupan yang mengharamkan senyuman di mulut, kegembiraan di hati, menegah perhiasan dan perasaan cinta kepada keindahan dalam apa jua bentuk.Pada hal perkara ini tidak mempunyai asas daripada agama.Mereka beranggapan seni merupakan urusan luar dari Islam. Sebenarnya mereka yang menerima pendapat sedemikian bererti menentang atau menafikan sifat tabi’i alam dan fitrah diri manusia sendiri yang mana perasaan seni yang tumbuh dalam diri manusia merupakan anugerah tabi’i dari Allah yang amat berharga.

Pada diri insan Allah kurniakan jiwa, akal dan indera yang tiap-tiap satu berfungsi dan memerlukan tuntutan –tuntutan yang prrlu dipenuhi bagi kesempurnaan keinsanannnya. Jiwa menuntut kerohanian, akal menuntut keilmuan dan indera menuntut kesenian. Sedang tiap-tiap bidang pula tidak berdiri sendiri-sendiri tetapi bersatu pada puncaknya di lautan intelek dan falsafah mencari kebenaran.
Agama Islam mengharuskan perasaan cinta kepada kesenian dan keindahan. Allah sentiasa menyeru manusia supaya memerhati keindahan yang terdapat dalam alam ini. Tamadun Islam telah menghidupkan pelbagai jenis seni dan seni-seni ini telah berkembang dalam tamadun Islam sehingga menjadi tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang unik dan berbeza dengan tamadun-tamadun lain. Al-Quran menceritakan keindahan langit (Qaf, ayat 6), keindahan bumi yang terbentang luas (Qaf, ayat 7), keindahan kejadian haiwan ( al-Nahli, ayat 6), keindahan ciptaan manusia (al-Taghabun, ayat 3 dan al-Infitar, ayat 7-8)



Islam adalah agama yang berdasarkan realiti kehidupan. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia keseluruhannya sama ada aspek rohani, jasmani, pemikiran ataupun perasaan. Islam menuntut agar unsur-unsur ini dilaksanakan secara keseluruhan dalam skop yang sederhana yang dibenarkan oleh agama iaitu tidak telalu boros dan melampau dan tidak pula kikir dan sempit.

Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan. Din al-Islam meliputi agama kebudayaan, maka dengan sendirinya kesenian merupakan sebahagian din al-Islam. Ia juga diturunkan untuk menjawab fitrah, naluri atau keperluan asasi manusia yang mengarah kepada keselamatan dan kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud : “ Wahai anak-anak Adam, pakailah perhiasan kamu keika waktu sembahyang. Makanlah dan minumlah dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah “ siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan rezeki yang baik.” (al-A’raf, ayat 31-32)

Perhiasan Allah menggambarkan unsur-unsur keindahan yang disediakan oleh Allah kepada hamba-hambanya di samping unsur-unsur manfaat yang terdapat pada makanan yang baik.

Seni Khat

Keindahan itu sebahagian dari seni. Ini bermakna Islam tidak menolak kesenian. Al-Quran sendiri menerima kesenian manusia kepada keindahan dan kesenian sebagai salah satu fitrah manusia semulajadi anugerah Allah kepada manusia.Seni membawa makna halus, indah dan permai. Dari segi istilah, seni adalah sesuatu yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia, tidak kira sama ada ia ciptaan Allah ataupun yang dihasilkan oleh fikiran, kemahiran, imaginasi dan perbuatan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu seni adalah nilai halus, indah, baik, berguna dan bermanfaat kepada manusia.

Menurut buku The Hutchincon Encyclopedia, 1977 Edition, seni secara umumnya bermaksud semua proses dan produk kemahiran manusia, imiginasi dan ciptaan iaitu sesuatu yang berlawanan dengan sifat semulajadinya. Di dalam penggunaan semasa, seni didefinisikan sebagai sesuatu kriteria yang estetika dan ia meliputi kesusasteraan, muzik, drama, lukisan dan ukiran. Dalam Kamus Dewan ia bermaksud sesuatu karya sama ada sajak, muzik yang diciptakan dengan bakat kecekapan ataupun hasil daripada sesautu ciptaan.Herbert Read di dalam bukunya The Meaning of Art mengatakan seni sebagai percubaan untuk mencipta sesuatu yang menyenangkan hati kerana perasaan yang menyenangkan hati itu merupakan perasaan yang mengalami keindahan. Oleh itu, sesuatu objek yang diciptakan untuk menimbulkan keindahan bukan sahaja bertujuan untuk digunakan tetapi ia bertujuan supaya keindahan itu dapat melahirkan rasa dihargai, mengembirakan dan menyenangkan hati.Seni di dalam Islam merupakan persoalan mendatang, tumbuh dan berkembang subur bersama perkembangan budaya menerusi ruang zamannya selepas melalui siri pembentukan. Penyesuaian dan penghalusan yang selaras dengan nilai Islam.

Seni muzik Islam

Kesenangan dan kepuasaan merupakan salah satu daripada tuntutan naluri manusia. Kesenangan dan keindahan dapat dilahirkan ke alam kenyataan melalui bentuk-bentuk tertentu sama ada artifak-artifak yang berbentuk seni bina, seni hias, seni bunyi, seni kaligrafi, seni sastera dan lain-lain. Kesenian bukanlah sesuatu yang mati, tetapi ia merupakan sesuatu benda yang hidup dan bernafas dengan mekarnya, rasa yang tumbuh dalam sanubari manusia dari satu masa ke semasa. Melihat keindahan sebagai sesuatu yang menyenang, menyeronok dan menghibur adalah didasarkan pada tanggapam lahir di bawah martabat nafsu yang rendah sifatnya. Manakala yang melihatnya dari sudut hakikat yang filosofik dan metafizik maka ia sebagai realiti yang mutlak. Tahap ini bukan melihat keindahan bukan semata-mata melalui keindahan mata dan pengalaman indera lahir tertapi melalui mata batin, iaitu melalui akal dan jiwa yang dapat menikmati keindahan yang hakiki. Tanggapan ini adalah saluran yang boleh membawa kepada hidayah Allah mengenali bahawa keindahan itu adalah realiti sifat Allah yang hakiki. Di dalam hal ini, Imam al-Ghazali dalam Kimya al-Sa’adah menjelaskan bahawa keindahan itu terbahagi kepada keindahan lahir yang bersifat inderawi yang dapat dialami bukan saja oleh anak-anak bahkan binatang dan keindahan batin yang hanya dapat ditanggapi oleh mata hati dan cahaya jiwa. Keindahan seni dari sudut ini bukan semata-mata memberi kepuasan inderawi tetapi merupakan salah satu wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya keindahan alam adalah nisbi dan manifestasi Allah yang bersifat Abadi. Jika keindahan alam yang bersifat sementara itu dikagumi, maka keindahan yang Abadi itu seharusnyalah berlebih-lebih lagi.

Hadith nabi yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia suka kepada keindahan.” (riwayat Muslim dalam kitab al-Iman)

Konsep kesenian mengikut perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah. Seni dibentuk untuk melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan kebaikan dan berakhlak. Selain itu, seni juga seharusnya lahir dari satu proses pendidikan bersifat positif dan tidak lari dari batas-batas syariat. Seni Islam ialah seni yang bertitik tolak dari akidah Islam dan berpegang kepada doktrin tauhid iaitu pengesaan Allah dan seterusnya direalisasikan dalam karya-karya seni. Ia tidak bercanggahan dengan akidah, syarak dan akhlak. Perbezaan di antara seni Islam dengan seni yang lain ialah niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung di dalam sesuatu hasil seni itu. Ini berbeza dengan keseniaan barat yang sering mengenepikan persoalan akhlak dan kebenaran. Tujuan seni Islam ialah untuk Allah kerana ia memberi kesejahteraan kepada manusia. Dengan ini, seni Islam bukanlah seni untuk seni dan bukan seni untuk sesuatu tetapi sekiranya pembentukan seni itu untuk tujuan kemasyarakatan yang mulia, itu adalah bersesuaian dengan seni Islam. Kesenian Islam dicetuskan dengan niat untuk mendapat keredaan Allah sedangkan kesenian yang tidak berbentuk Islam diciptakan untuk tujuan takbur, riak, menaikkan nafsu syahwat, merosakkan nilai syarak dan akhlak. Karya seni dikehendaki mengandungi nilai-nilai murni yang melambangkan akhlak, atau paling tidak bersifat neutral iaitu bebas daripada sifat negatif. Jika sekiranya terdapat nilai-nilai negatif walaupun yang menciptakannya itu beragama Islam, maka ia terkeluar daripada kategori seni Islam.

Seni yang dapat mendekatkan diri dengan Allah itu adalah sebaik-baik seni


Seni Islam mestilah mempunyai hubungan dengan pandangan wahyu Islam yang mempengaruhi seni secara langsung dan seluruh seni Islam umumnya. Seni Islam terpancar daripada wahyu Allah iaitu al-Quran dan hadith nabi. Ia bererti bahawa seni harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyuNya. Tanpa kedua-duanya maka ia bukanlah kesenian Islam. Seni Islam bukan sahaja diciptakan oleh orang-orang Islam tetapi kerana ia berlandaskan wahyu ilahi. Sehubungan dengan itu, Sayyid Qutb menjelaskan bahawa Islam tidak anti seni. Ia telah meletakkan, menambahkan dan menyempurnakan aprisiasi dan nilai-nilainya, guna terciptanya aprisiasi dan nilai-nilai baru yang berdaya mampu menambahkan rasa seni yang kreatif membentuk kesenian Islam.

Oleh:Mohd Rumaizuddin Ghazali
http://www.mindamadani.my/content/view/100/3/

No comments:

Post a Comment

Korang ada apa-apa nak komen?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...